Thursday 28 March 2013

Sumbangan besar PGA



Gambar : Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), melakukan tugas mengawal sempadan negara.

BERTUGAS di belantara, desa mahu pun kota bagi anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang merupakan sebahagian ahli keluarga besar Polis Diraja Malaysia (PDRM) umpama alah bisa tegal biasa demi memikul tanggungjawab menjaga kedaulatan dan keamanan negara.

Dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan (PPH) sebelum ini, PGA kini yang di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman menyimpan rentetan perjuangan yang panjang bermula semasa era Darurat memerangi pengganas komunis.

Pasukan ini turut terlibat semasa konfrontasi menentang pencerobohan tentera Indonesia ketika awal pembentukan Malaysia dan gerakan memburu pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) di perbatasan Malaysia-Thailand.

Keupayaan PGA yang dilatih untuk bergerak seperti unit tentera terbukti telah banyak menyumbang kepada keamanan dan keharmonian yang dinikmati rakyat negara ini.

Sumbangan PGA malah PDRM untuk memastikan rakyat negara ini tidur lena dan hidup selesa tidak boleh dipertikaikan lagi.Photo: UNGERIN PDRM

Sebab itu, rakyat terutama generasi muda perlu fahami dan menyelami pengorbanan PGA yang terpaksa meninggalkan keluarga tercinta dan kehidupan normal semata-mata mahu memberikan keamanan untuk dikecapi oleh rakyat Malaysia hingga ke hari ini.

Bagi Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rasid, biarpun pelbagai kritikan dilontarkan kepada PDRM amnya dan PGA khususnya, itu tidak pernah mematahkan semangat mereka terus berkhidmat kepada negara.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai anggota PPH dan PGA berkata, tanpa pengorbanan pasukan keselamatan, adalah mustahil untuk negara menikmati kestabilan, keharmonian dan kemajuan.

Jika sebelum ini, ada suara-suara sumbang yang mahukan PGA dibubarkan, namun sudah terbukti pasukan ini kekal relevan mengikut peredaran masa. Bukan sahaja menjaga keamanan dalam negara, malah di luar negara seperti di Timor Leste di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Baru-baru ini kedaulatan negara digugat oleh kumpulan pengganas dengan kemahiran perang gerila di Lahad Datu, Sabah yang turut memerlukan kemahiran PGA serta unit-unit lain demi memastikan kedaulatan negara terjamin," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau berkata, rakyat negara ini terutamanya generasi muda sekarang kurang mengetahui peranan dan fungsi sebenar pasukan itu.

Sedangkan keamanan dan kemewahan yang dinikmati sekarang sebenarnya dibayar dengan keringat, darah dan air mata pejuang terdahulu termasuk dari kalangan anggota PGA.

Katanya, bukan habuan wang ringgit yang dikejar oleh para anggota yang pagi, petang, siang dan malam memastikan keamanan negara terpelihara.

Mereka juga tidak menuntut pujian yang melambung. Sebaliknya kata beliau, cukup sekadar jika rakyat negara ini tahu menghargai pengorbanan mereka dan bukannya dihambur dengan kata-kata yang mampu mengguris hati dan perasaan bukan sahaja PDRM, malah ahli keluarga mereka juga.

Menceritakan sejarah PGA, Salleh berkata, pasukan itu ditubuhkan pada 1948 sebagai PPH sebelum satu upacara pengurniaan panji-panji baru kepada PDRM serta unitnya diadakan pada 11 September 1997 dan nama PPH ditukar menjadi PGA .

Pada dasarnya kata beliau, PGA disusun, dilatih dan dilengkapkan dengan keupayaan ketenteraan di hutan dan kawasan luar bandar. Namun PGA juga berkebolehan membantu atau menjalankan tugas di pekan dan bandar ini kerana turut dipersiapkan sebagai anggota polis biasa.

Sejak ditubuhkan, peranan utama PGA adalah menyediakan satu simpanan khas untuk menghadapi semua jenis ancaman dalam bentuk ketenteraman awam, aktiviti subversif dan keganasan atau pemberontakan bersenjata.

PGA juga berperanan bersama pasukan tentera dalam operasi menentang gerila komunis dan pemberontak bersenjata serta menghapuskan kemasukan musuh ke negara ini.

Sebelum seseorang itu diterima masuk sebagai anggota PGA, mereka terlebih dahulu dilatih sebagai polis biasa sebelum dipilih untuk menjalani dan menamatkan kursus asas peperangan hutan selama beberapa bulan dan kemudiannya disahkan menjadi sebahagian keluarga PGA.

Ini bermaksud anggota PGA bukan sahaja berfungsi sebagai seorang anggota infantri tetapi boleh juga ditugaskan untuk melaksanakan penugasan anggota polis tugas am sekiranya diperlukan. Sekiranya ketenteraman negara terancam, PGA boleh menjalankan tugas seperti pasukan tentera," katanya.

PGA juga boleh dikerahkan untuk mengambil alih kedudukan strategik bagi menjaga kedaulatan dan keamanan negara seperti di sempadan apabila gerak kerja tentera dikhuatiri mampu menimbulkan ketegangan atau provokasi apabila tercetusnya insiden di kawasan terlibat.

Menurut Salleh, pasukan itu yang dilihat sebagai unit dengan pelbagai peranan atau multitasking, turut dianggotai unit pencegah rusuhan (PORU) yang terlatih bagi membantu penugasan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), sekali gus membuktikan pasukan itu relevan seiring dengan tuntutan semasa.

Katanya, pasukan itu juga berkebolehan untuk digerakkan dalam pelbagai situasi dan bentuk muka bumi termasuk melaksanakan tugas peperangan (insurgency warfare) di hutan, perairan dan bandar, suasana pertempuran jarak dekat dan mahir dalam peperangan gerila.

Salleh berkata, nama PPH ditukar kepada PGA selaras dengan perubahan dan keperluan tugas PDRM.

Ekoran perubahan itu, anggotanya dilatih dan dilengkapi dengan keperluan logistik bagi membolehkan ia menjalankan fungsi-fungsi tertentu.

1 comment: